LUNDU: Bagi 30 asnaf di Zon Lundu, Ramadan kali ini hadir dengan sinar harapan apabila mereka menerima sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai dalam satu majlis kebajikan yang berlangsung di Masjid Pehin Sri Haji Adenan Satem, Ahad.
Majlis Penyampaian Sumbangan Masjid & Surau, Sumbangan Asnaf Zon Lundu serta Majlis Berbuka Puasa itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan sebagai manifestasi komitmen berterusan memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan komuniti sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL), Datuk Amar Jamilah Anu, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail serta wakil-wakil masjid, surau dan pemimpin masyarakat setempat.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 16 masjid serta 26 surau dan kampung kecil yang lain menerima sumbangan hasil inisiatif Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu dengan kerjasama LAKIL.
Bantuan tersebut bertujuan menyokong pengimarahan rumah ibadah dan memperkasa pelaksanaan aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan sepanjang Ramadan.
Bagi penerima asnaf, bantuan yang disampaikan bukan sekadar barangan keperluan, tetapi tanda ingatan dan sokongan moral agar mereka dapat menyambut Ramadan dengan lebih tenang serta bermakna.
Sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai itu merupakan sumbangan peribadi ADUN Tanjong Datu melalui Lembaga Jaznan.
Program tahunan Ramadan ini akan diteruskan ke Zon Sematan, Zon Sampadi dan Zon Pandan sebagai usaha memperluas manfaat kepada lebih ramai penerima, sekali gus memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada sentuhan kebajikan.-EDISI UKAS