Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Bersungkei Bersama UNIFOR
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa pimpinan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang berlangsung di Dewan Santapan, Surau Astana Sarawak pada Ahad.
Ketibaan mereka berdua disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Turut hadir ialah Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau serta ketua-ketua agama lain termasuk Archbishop Dato Dr Simon Poh, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira, Dato Shankar R.P. Asnani bersama Datin Karishma Shankar Asnani, Krishnarao Subramaniam @ Prabhu Kripa, Dr Shehab Phung Chee Wei dan Kapitan Tan Kok Shiang.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak, Datu Mohammad Sepuan Anu, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak, Hamdan Jar’ee, Pengarah Lembaga Urusan Tabung Haji Sarawak, Amat Kassim Pait, serta Pegawai Daerah Kuching Zaidi Narawi.
Majlis dimulakan dengan iftar ringan, solat Maghrib berjemaah, diikuti sesi berbuka puasa bersama para tetamu.
Setelah berbuka puasa bersama, Tun Pehin Sri serta isteri berkenan untuk beramah mesra serta merakamkan gambar kenang-kenangan bersama delegasi UNIFOR dan ketua-ketua agama-agama lain sebelum mereka meninggalkan majlis.
Tun Pehin Sri dan para jemaah kemudiannya menunaikan solat Isyak dan tarawih, yang diimamkan oleh Ustaz Awang Mohamad Safwan Awang Sefari.
Dalam pada itu, beliau serta isteri menzahirkan rasa syukur kerana dapat berhimpun dalam suasana penuh harmoni yang memperkukuh hubungan serta mempererat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Kehadiran pemimpin dari pelbagai latar belakang dalam majlis ini juga mencerminkan keunikan dan keistimewaan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta nilai hormat-menghormati yang terus terpelihara. -EDISI UKAS