Jambatan Sungai Musah Giat Dibina Semula, Sedia Laluan Lebih Selamat
SONG: Jambatan Sungai Musah di Katibas yang sebelum ini mengalami kerosakan serius kini sedang giat dibina semula bagi memastikan penduduk setempat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selamat, stabil dan berdaya tahan apabila projek tersebut siap sepenuhnya kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan semasa projek berkenaan selepas mengadakan lawatan tapak pada Isnin bagi meninjau kemajuan kerja.
“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam satu majlis baru-baru ini.
Jelas beliau, pembinaan semula jambatan tersebut amat penting memandangkan struktur lama dilaporkan rosak dengan keadaan tiang yang condong akibat pergerakan tanah sehingga menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Jambatan berkenaan telah ditutup sepenuhnya kepada laluan kenderaan dan orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga.
Ketika ini, kerja-kerja merobohkan dua bahagian jambatan lama sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan pembinaan jambatan baharu yang lebih kukuh dan selamat.
Bagi memastikan kelangsungan perhubungan penduduk sepanjang tempoh pembinaan, sebuah jambatan besi sementara turut disediakan untuk kegunaan orang ramai.
Kerja-kerja pembinaan semula jambatan tersebut telah bermula pada 22 Oktober 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2027.-EDISI UKAS