Kerajaan Sarawak Fail Petisyen Di Mahkamah Persekutuan, Mohon Penentuan Keabsahan Akta Petroleum
KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan berhubung kesahihan perlembagaan serta keabsahan dan pemakaian berterusan Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 terhadap Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, akta-akta Persekutuan tersebut menjejaskan serta melucutkan hak Sarawak terhadap sumber asli, termasuk minyak dan gas, yang terdapat di dasar laut Pelantar Benua dalam sempadan sebagaimana diperluas dan ditakrifkan melalui Perintah Majlis Sarawak (Pindaan Sempadan) 1954 dan Perintah Majlis Sarawak (Takrifan Sempadan) 1958.
"Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan instrumen perlembagaan yang dilampirkan bersamanya, hak kedaulatan terhadap sumber petroleum di dasar laut dalam sempadan Sarawak telah diletakkan kepada Sarawak pada Hari Malaysia oleh Kerajaan British, dan bukannya kepada Persekutuan atau Kerajaan Persekutuan.
"Selaras dengan Butiran 2(c) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa perundangan untuk mengawal selia hak petroleum tersebut adalah terletak pada Dewan Undangan Negeri melalui pengeluaran pajakan perlombongan, sijil dan lesen cari gali," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Datuk Sharifah Hasidah menjelaskan, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 pada asalnya hanya terpakai di Negeri-Negeri Tanah Melayu, sebelum diperluaskan ke Sarawak melalui ordinan yang diluluskan selepas Proklamasi Darurat 1969.
Bagaimanapun ujarnya, darurat tersebut telah dibatalkan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Disember 2011, justeru mulai Jun 2012, kedua-dua undang-undang berkenaan sepatutnya tidak lagi terpakai di Sarawak menurut Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.
"Pada 10 Januari 2026, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) turut memfailkan permohonan kebenaran untuk mencabar kesahan beberapa undang-undang negeri berkaitan operasi dan aktiviti petroleum syarikat itu di Sarawak.
"Permohonan tersebut dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2026," jelasnya lagi.
Sementara itu, beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak akan membantah permohonan berkenaan atas alasan ia tidak termasuk dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak turut memohon penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(3) dan Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahan undang-undang persekutuan terbabit setakat mana ia terpakai di Sarawak.
"Undang-undang persekutuan berkenaan memberi kesan terhadap sempadan Sarawak yang telah ditetapkan sebelum Hari Malaysia serta hak negeri terhadap sumber petroleum di kawasan pesisir pantai dalam sempadannya.
"Langkah ini adalah bagi melindungi kepentingan dan hak sah Sarawak serta rakyatnya sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan instrumen perlembagaan yang berkaitan.
"Pada masa sama, penentuan isu perlembagaan ini juga akan memberi kejelasan terhadap rangka kerja kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak, khususnya kepada pelabur dalam sektor huluan dan hiliran," katanya lagi.
Walaupun petisyen telah difailkan jelas beliau, Kerajaan Sarawak kekal komited untuk meneruskan perbincangan konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian secara baik, yang dapat memperkukuh perpaduan nasional, menggalakkan penggunaan sumber minyak dan gas secara lebih mampan serta membolehkan Sarawak terus menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.-EDISI UKAS