'Lubuk' Rezeki Peniaga Kecil, Bazar Ramadan Emart Matang Tawar Keunikan
KUCHING: Bazar Ramadan Emart Matang di sini menjadi 'lubuk' rezeki kepada peniaga makanan yang menawarkan pelbagai juadah menyelerakan kepada pengunjung.
Sebanyak 63 tapak jualan dibuka untuk para pengunjung yang turut mendapat tajaan sekali gus menyokong penganjuran bazar Ramadan itu.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman sempat mengadakan lawatan walkabout ke bazar tersebut pada Isnin bagi meninjau sendiri suasana serta menyantuni peniaga dan pengunjung.
Bazar yang mula beroperasi sejak 19 Februari hingga 18 Mac ini menjadi antara tumpuan utama warga sekitar bagi mendapatkan hidangan berbuka puasa.
Dalam pada itu, Dato Fazzrudin turut meluangkan masa menyantuni pengunjung dengan mengagihkan sebanyak 500 pek bubur lambuk sebagai simbolik keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki sempena bulan Ramadan.
Beliau turut menzahirkan harapan agar penganjuran bazar seperti ini terus memberi manfaat kepada peniaga kecil selain merancakkan aktiviti ekonomi tempatan sepanjang bulan Ramadan.
“Bazar Ramadan bukan sahaja menjadi platform untuk masyarakat mendapatkan juadah berbuka puasa, malah membuka peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi setempat,” katanya.
Tambah beliau, sokongan pelbagai pihak termasuk penaja dan komuniti amat penting dalam memastikan kelangsungan penganjuran bazar yang berkualiti dan teratur.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Tan Kai, Timbalan Pengerusi merangkap Penaung dan Penasihat MPP, Kaunselor Mahmud Dato Sri Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Kaunselor Mahdi Tomi, dan Group Property In-Charg, Lee Leong Peng.-EDISI UKAS