KUCHING: Permohonan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi kerja-kerja naik taraf Surau Al Tawahhud, Kampung Segedup Rimba telah diluluskan dalam usaha meningkatkan keselesaan dan kemudahan jemaah setempat.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki ketika menghadiri Program Jelajah Ramadan dan Sumbangan Ihsan Ramadan 2026M/1447H di surau berkenaan, pada malam Isnin.
Menurut beliau, peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian kemudahan surau bagi memastikan institusi itu terus berfungsi sebagai pusat ibadah serta penyatuan komuniti.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 15 penduduk kampung dalam kalangan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan sempena Ramadan.
Beliau menegaskan bahawa Program Jelajah Ramadan yang dianjurkan Biro Agama PBB Cawangan DUN Satok setiap tahun bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah memperkukuh ukhuwah serta menyantuni rakyat secara lebih dekat.-EDISI UKAS