OpenMove AI Sedia Jalinkan Kerjasama Sokong Agenda Transformasi Sarawak
KUCHING: Syarikat teknologi tempatan, OpenMove AI menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi-agensi di Sarawak bagi menyokong agenda transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
Pengerusinya, Tengku Tan Sri Dato Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk membincangkan bentuk usaha sama yang boleh dilaksanakan bersama agensi-agensi kerajaan negeri Sarawak, khususnya dalam menyediakan khidmat kepakaran berkaitan agenda transformasi.
"Alhamdulillah, perbincangan yang berlangsung amat positif dan kami turut menerima nasihat daripada Premier agar perbincangan lanjut diadakan bersama agensi-agensi berkaitan.
"Terdapat juga kemungkinan untuk kami bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri Sarawak dalam menjayakan agenda transformasi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya pada Selasa.
Tengku Tan Sri Dato Mohamad Rizam menambah, OpenMove AI berminat untuk melakukan kerjasama strategik disebabkan Kerajaan Sarawak yang berada di hadapan dalam pelaksanaan agenda transformasi digital berdasarkan pelbagai inisiatif dan usaha yang telah dilaksanakan.
Ujarnya, pihaknya bersedia menawarkan kepakaran dalam beberapa aspek berkaitan transformasi, dengan pendekatan berasaskan kepakaran dan hasil usaha anak tempatan sebagai nilai tambah dalam kerjasama yang bakal diterokai.
Hadir sama, Naib Presiden Kanan Movenet (Malaysia) Sdn Bhd Steven Lim Kee Seng, Naib-Naib Presiden Movenet (Malaysia) Sdn Bhd Dr Ts Muhammad Fadhli Abdul Malek dan S. Chandra Bogar Samuel Swaniadian. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini