Pemuda PBB Sokong Petisyen Kerajaan Sarawak Ke Mahkamah Persekutuan
KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong Kerajaan Sarawak untuk memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan Malaysia bagi menentukan kesahan perlembagaan serta pemakaian beberapa undang-undang Persekutuan yang memberi kesan terhadap hak Sarawak ke atas
sumber.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, Pemuda PBB menyokong sepenuhnya langkah tersebut bagi mendapatkan kejelasan kehakiman berhubung persoalan-persoalan asas perlembagaan yang mempunyai implikasi besar kepada masa depan rakyat Sarawak.
"Sarawak secara konsisten menegaskan bahawa pengurusan dan pengawalseliaan sumber aslinya hendaklah dilaksanakan selaras dengan aturan perlembagaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 serta perlindungan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan tersebut, pendirian Sarawak bukanlah bersifat sewenang-wenangnya atau beremosi namun hujah-hujah yang dikemukakan adalah tegas, berasaskan undang-undang serta berakar kukuh dalam kerangka perlembagaan yang membentuk Persekutuan.
Pemuda PBB juga menegaskan, Sarawak tidak bertindak atas kepentingan sendiri di sebalik naratif yang muncul di Semenanjung Malaysia namun memilih saluran perundangan yang sah untuk menyatakan pendirian dan mendapatkan penentuan muktamad daripada mahkamah.
"Mempertahankan hak perlembagaan tidak wajar disalah tafsir, dan Sarawak tidak akan gentar dalam mempertahankan apa yang sememangnya menjadi hak di sisi undang-undang," menurut kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, Pemuda PBB mengiktiraf komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk terus mengadakan libat urus secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan.
Jelas mereka, usaha mendapatkan kejelasan melalui mahkamah tidak seharusnya dan tidak boleh menafikan kepentingan dialog, kerjasama serta rasa hormat bersama dalam kerangka Persekutuan. -EDISI UKAS