Mekanisme Aduan Perlu Komprehensif, Telus & Lindungi Pemberi Maklumat
KUCHING: Mekanisme aduan dalam sesebuah organisasi hendaklah dirangka secara menyeluruh, mudah diakses serta difahami oleh semua warga organisasi dan pihak berkepentingan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, Unit Integriti memainkan peranan penting dalam memastikan saluran aduan disediakan melalui pelbagai medium yang sesuai seperti sistem dalam talian, emel rasmi, peti aduan atau saluran terus kepada pegawai yang dilantik.
"Setiap aduan yang diterima hendaklah didaftarkan dan dinilai secara awal bagi menentukan kesahihan serta bidang kuasa pengendaliannya.
"Proses pengesanan dan pengesahan perlu dilaksanakan secara profesional, berlandaskan fakta dan bukti yang mencukupi, serta mematuhi prinsip keadilan asasi.
"Garis masa penyiasatan hendaklah munasabah dan dipantau supaya tidak berlaku kelewatan yang boleh menjejaskan kredibiliti sistem," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Ketua Unit Integriti Agensi Sarawak Bil.1/2026 pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Dr Juanda turut menekankan kepentingan perlindungan terhadap pemberi maklumat.
Katanya, identiti pengadu hendaklah dirahsiakan sepenuhnya dan sebarang bentuk tindakan balas, tekanan atau diskriminasi terhadap pemberi maklumat tidak boleh ditoleransi sama sekali.
"Unit Integriti perlu memberi jaminan bahawa setiap aduan akan diteliti secara serius tanpa mengira jawatan atau kedudukan pihak yang dilaporkan," jelasnya lagi.
Sementara itu, beliau menyeru kepada semua Ketua Unit Integriti (KUI) agar terus memainkan peranan secara proaktif, berani dan berprinsip dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Tegasnya, integriti bukan hanya terletak pada dokumen dan prosedur, tetapi terpancar melalui tindakan harian, keputusan yang dibuat serta keberanian menegakkan perkara yang benar walaupun berdepan cabaran.
"Saya yakin dengan kepakaran, pengalaman dan komitmen yang ada dalam kalangan warga KUI dan Unit Integriti, kita mampu memperkukuh sistem tadbir urus, meningkatkan tahap kepercayaan awam dan memastikan setiap agensi bergerak dalam landasan yang berintegriti," jelasnya. -EDISI UKAS