MIRI: Seramai 600 peniaga di Bazar Ramadan Stadium Tertutup Miri menerima sumbangan apron khas sebagai usaha memperkukuh imej kebersihan serta menceriakan suasana perniagaan sepanjang bulan Ramadan.
Inisiatif tahunan itu digerakkan oleh pasukan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usahawan kecil tempatan.
Setiausaha Sulit beliau, Chia Kah Furng berkata, penyerahan apron yang diadakan pada Isnin bukan sekadar memberi kemudahan praktikal kepada peniaga, malah menyampaikan mesej jelas tentang kepentingan aspek kebersihan dan penampilan profesional di premis jualan makanan.
“Bazar Ramadan bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat mendapatkan juadah berbuka puasa, malah platform penting yang menghubungkan komuniti pelbagai kaum serta menggerakkan ekonomi setempat. Justeru, penampilan yang kemas dan bersih amat signifikan dalam membina keyakinan pelanggan,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan tersebut diharap dapat menyuntik motivasi kepada para peniaga untuk terus mengekalkan standard kebersihan yang tinggi, sekali gus meningkatkan imej keseluruhan bazar sebagai lokasi yang selamat dan selesa untuk dikunjungi.
Turut hadir, Kaunselor Leslie Lau, Kaunselor Lisa Yu dan Kaunselor Chai Woei Yih.-EDISI UKAS