Sarawak Serah Kepada Mahkamah Tentukan Keabsahan Tiga Akta Berkaitan Petroleum
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil pendirian tegas dan berprinsip dengan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keabsahan serta tafsiran muktamad tiga undang-undang Persekutuan yang berkaitan secara langsung dengan sumber asli negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan perundangan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan jelas mengenai kedudukan Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
“Perkara tersebut telah diadakan di mahkamah. Tujuan pengadilan adalah untuk mencari penjelasan daripada mahkamah mengenai status tiga undang-undang kerajaan.
“Tidak adil bagi saya untuk berkata-kata terlalu banyak kerana perkara ini sedang dalam proses mahkamah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS Sarawak 2026 di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, petisyen yang difailkan menyentuh soal sumber asli serta bidang kuasa sempadan negeri, justeru pendekatan perundangan dipilih bagi memastikan tafsiran yang diperoleh adalah sah dan muktamad demi kepentingan Sarawak.
Mengulas Mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadualkan pada 2 Mac ini, beliau berkata rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan diteruskan secara berfokus bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak.
Menurutnya, antara perkara yang akan diberi perhatian termasuk isu kesihatan, pendidikan serta pendaftaran khas di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Dato Sri Abdul Karim turut menegaskan pendirian kerajaan negeri berhubung tanah yang telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun agar dikembalikan kepada Sarawak.
“Kita meminta mana-mana tanah yang telah diserah kepada kerajaan pusat, tidak dibangunkan dalam masa lima tahun, dikembalikan.
“Antaranya ada yang sudah kita berjaya (peroleh kembali) dan ini adalah tambahan yang belum lagi diperhaluskan,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, perkara tersebut akan terus diperincikan di peringkat jawatankuasa teknikal termasuk melibatkan aspek pelancongan serta tanah yang belum dibangunkan bagi memastikan aset negeri dimanfaatkan secara optimum.
Menyentuh perkembangan sektor pelancongan, beliau berkata usaha promosi Sarawak akan terus dipergiat melalui kerjasama strategik antara kementerian di peringkat Persekutuan dan negeri.
Katanya, pelbagai program promosi di luar negara dan penganjuran acara dalam negeri dilaksanakan secara berterusan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak dan Malaysia.
“Untuk Januari 2026, ada peningkatan yang agak tinggi jumlah pengunjung yang masuk jika dibandingkan dengan Januari 2025,” ujarnya.
Beliau berkata, peningkatan tersebut membuktikan keberkesanan koordinasi serta kolaborasi antara kementerian dalam memperkukuh dan merancakkan industri pelancongan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. –EDISI UKAS