Projek Parkir Premix Siap, Legakan Trafik di Tadika Methodist Riam
MIRI: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kemudahan pendidikan awal kanak-kanak diterjemahkan melalui pelaksanaan projek naik taraf premix tempat letak kereta di Tadika Methodist Riam yang siap sepenuhnya, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pelajar.
Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut dilaksanakan susulan permintaan pihak tadika dan ibu bapa yang berdepan kesesakan lalu lintas setiap hari, khususnya pada waktu puncak persekolahan.
Menurut beliau, sebelum ini ibu bapa terpaksa menunggu di bahu jalan yang sempit ketika menghantar dan mengambil anak, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan serta gangguan trafik di kawasan Riam.
“Berdasarkan permintaan pihak tadika dan ibu bapa, kita telah melaksanakan beberapa projek penambahbaikan termasuk pembinaan tempat letak kereta baharu menggunakan premix, penggantian pagar serta kerja-kerja naik taraf bangunan,” jelasnya ketika mengadakan lawatan tapak dan merasmikan projek berkenaan di sini, pada Selasa.
Projek tempat letak kereta yang kini siap sepenuhnya mampu menempatkan sehingga 30 buah kenderaan pada satu-satu masa, sekali gus mengurangkan kesesakan di hadapan tadika yang menempatkan lebih 200 pelajar.
Projek di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Riam itu telah dimulakan pada 4 Julai 2025 dan siap sepenuhnya pada 20 Oktober 2025.
Pelaksanaan inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan persekitaran pembelajaran awal kanak-kanak berada dalam keadaan selesa, selamat dan teratur demi kesejahteraan komuniti setempat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin.
Turut hadir, Guru Besar Tadika Methodist Riam Ng Nguk Chin, Kapitan Jee Kee Hiong dan Kaunselor William Sim.-EDISI UKAS