Tradisi Ziarah Platform Terbaik Dengar Pandangan & Keperluan Rakyat
SARIKEI: Tradisi ziarah sempena musim perayaan terus menjadi platform terbaik untuk mendengar sendiri pandangan serta memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pendekatan turun padang sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) kali ini bagi mendekati masyarakat serta meninjau keperluan penduduk di peringkat akar umbi di Sarikei.
"Amalan ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa supaya kebajikan rakyat di daerah ini sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya," katanya ketika ditemui semasa lawatan rumah ke rumah sempena TBC, di sini, baru-baru ini.
Dalam lawatan rumah ke rumah yang diadakan bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat baru-baru ini, beliau berkesempatan beramah mesra dengan penduduk setempat dalam suasana penuh muhibah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut menegaskan, sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Tionghua, malah menjadi perayaan bersama rakyat pelbagai kaum, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Dalam lawatan tersebut, beliau menziarahi kediaman Penghulu Ley Kok Lun, Penghulu Yeu Chii Tung dan Wong Hua Ting, selain meluangkan masa beramah mesra dengan masyarakat setempat untuk bersama-sama meraikan kemeriahan Tahun Baharu Cina. -EDISI UKAS