PAKAN: Pelaksanaan Program Sejati MADANI di kawasan pedalaman Pakan terus memberi nafas baharu kepada masyarakat rumah panjang apabila inisiatif tersebut membuka ruang kepada komuniti menjana pendapatan sendiri serta membina asas ekonomi yang lebih kukuh dan mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, program yang digerakkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu bukan sekadar bantuan fizikal, malah menjadi platform pendidikan ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
"Pendekatan yang diketengahkan memberi pendedahan tentang pengurusan modal, keusahawanan dan kepentingan menjana pendapatan secara berdikari, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada bantuan kerajaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Excavator Program Sejati MADANI JKKK Rumah Regina anak Angoi, di sini, pada Selasa.
Tan Sri William menambah, majlis ini juga menjadi simbol komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan serta aset yang boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi komuniti rumah panjang.
Melalui penggunaan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), kerajaan negeri dan Persekutuan memperlihatkan kesungguhan memperkukuh pembangunan luar bandar secara menyeluruh.
Jelasnya, peruntukan ini bukan sahaja meningkatkan infrastruktur asas, malah boleh dijadikan modal permulaan kepada projek ekonomi yang memberi pulangan berterusan kepada penduduk.
"Inisiatif seperti ini memberi peluang kepada lebih 200 rumah panjang di Pakan untuk merancang aktiviti ekonomi secara kolektif, termasuk dalam sektor pertanian, perkhidmatan dan penyelenggaraan infrastruktur kecil," katanya.
Pada masa sama, Tan Sri William memberitahu, tumpuan terhadap pelaksanaan projek jalan kebun turut memperkukuh akses ekonomi penduduk dengan memudahkan pergerakan hasil pertanian dan mengurangkan kos pengangkutan.
Menurutnya, kemudahan ini secara langsung meningkatkan produktiviti dan pendapatan komuniti. -EDISI UKAS