LHDN Perkasa e-Invois Fasa 4, 10,000 Syarikat Di Sarawak Terlibat
KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus memperkukuh agenda pendigitalan sistem percukaian negara menerusi pelaksanaan e-Invois yang kini memasuki Fasa 4, melibatkan kira-kira 10,000 syarikat di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pelaksanaan fasa terbaharu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi percukaian bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan serta pematuhan cukai dalam kalangan syarikat.
“Lebih kurang 10,000 syarikat di Sarawak yang berada dalam Fasa 4 akan mengambil bahagian dalam inisiatif e-Invois,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, pada Rabu.
Di peringkat nasional, hampir 200,000 syarikat di seluruh Malaysia telah terlibat dalam pelaksanaan e-Invois, dengan jumlah penerimaan dokumen digital itu kini melepasi satu bilion.
Menurut beliau, selain e-Invois, LHDN turut menggalakkan penyertaan syarikat dalam program ‘Tax Corporate Governance’ iaitu kerjasama strategik antara agensi tersebut dan sektor korporat bagi memastikan tadbir urus serta pelaporan cukai berada pada tahap terbaik.
Mengulas mengenai akses e-Filing khususnya di kawasan luar bandar, beliau memaklumkan bahawa LHDN menyediakan bantuan melalui rangkaian pejabat dan pejabat satelit di seluruh Sarawak.
“Sekiranya terdapat kesulitan untuk membuat penghantaran, pejabat-pejabat di seluruh Sarawak sedia membantu kerana memandangkan sistem e-Filing telah lama dilaksanakan dan tahap pematuhannya juga tinggi, individu yang masih menghadapi masalah boleh hadir ke mana-mana pejabat atau pejabat satelit di seluruh negeri,” katanya lagi.
Dalam pertemuan itu, Datuk Dr Abu Tariq turut memperkenalkan barisan kepimpinan LHDN Sarawak kepada Datuk Patinggi Abang Zohari yang kini diketuai oleh Abang Ehsan Abang Abu Bakar selaku Pengarah HASiL Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Ahmad Khairudin Abdullah. -EDISI UKAS