Fiesta Bazaar Ramadan Sri Aman Sedia 92 Lot, Meriahkan Ekonomi Usahawan Tempatan
SIMANGGANG: Fiesta Bazaar Ramadan di hadapan Pejabat Tabung Haji Sri Aman muncul antara lokasi tumpuan utama masyarakat setempat sepanjang Ramadan apabila menyediakan 92 lot jualan yang merancakkan ekonomi usahawan kecil dan sederhana di daerah ini.
Program anjuran Persatuan Persaudaraan Melayu Sri Aman-Betong bersama Jawatankuasa Usahawan Simanggang dan Resipi Teratak Sdn Bhd itu bukan sahaja menjadi pusat pilihan membeli juadah berbuka, malah platform memperkukuh jaringan komuniti serta kebajikan masyarakat.
Penyelaras Program Fiesta Bazaar Ramadan 2026, Awang Magerib Awang Anie berkata, jumlah lot yang disediakan merangkumi pelbagai kategori jualan bagi memenuhi keperluan pengunjung sepanjang bulan puasa.
“Sebanyak 37 lot diperuntukkan bagi jualan makanan, 20 lot kuih-muih, 14 lot panggang, 10 lot produk pelbagai, 10 lot minuman serta satu lot jualan minyak wangi.
“Penganjuran ini memberi peluang besar kepada peniaga tempatan mengetengahkan produk mereka sambil menjana pendapatan sepanjang Ramadan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, bazar berkenaan turut digabungkan dengan Bazaar Ramadan Rahmah Sri Aman 2026 hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac di lokasi sama.
Tambahnya, pelbagai program pengisian turut dirancang bagi menyemarakkan lagi suasana Ramadan termasuk majlis perasmian, Program Sedekah untuk Sedekah, agihan bubur lambuk, bakul makanan serta pembukaan kaunter zakat.
Fiesta Bazaar Ramadan dijadual dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor pada 28 Februari, dengan kehadiran Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Saleh dan Ketua Cawangan KPDN Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa.
Tinjauan mendapati orang ramai mula membanjiri kawasan bazar seawal jam 1 petang setiap hari, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.-EDISI UKAS