Keselamatan Awam Terus Diutamakan, Dua Pengusaha Dibenar Masuk Secara Terhad Ke Bangunan Runtuh
SIBU: Keselamatan awam kekal menjadi keutamaan walaupun dua pengusaha kedai diberikan kebenaran terhad untuk memasuki semula bangunan runtuh di Jalan Pahlawan di sini bagi mengambil barangan tertentu.
Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata pendirian pihak berkuasa tidak berubah kerana bangunan berkenaan masih dianggap tidak selamat dan akan terus ditutup serta dikawal ketat oleh pihak polis.
“Namun, selepas mengambil kira pelbagai faktor, nasihat profesional serta pertimbangan keselamatan, satu keputusan sukar dibuat untuk membenarkan operasi terhad dijalankan awal pagi ini.
“Hanya dua pengusaha kedai di tingkat bawah dibenarkan masuk di bawah pengawasan ketat bagi mengambil barangan bernilai yang berkait rapat dengan operasi perniagaan mereka.
“Kebenaran itu terhad kepada bahagian tengah tingkat bawah sahaja selepas pemeriksaan mendapati keadaan kunci kedua-dua premis tersebut berada dalam keadaan lebih baik, manakala akses ke tingkat atas tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui media di sini pada Rabu.
Michael berkata, operasi berkenaan dilaksanakan mengikut protokol terkawal, dengan pihak polis, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berada di lokasi bagi memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi serta tidak mendatangkan risiko kepada orang awam.
Beliau menambah, kedua-dua pengusaha kedai turut dikehendaki menandatangani surat pelepasan dan penafian liabiliti yang membebaskan semua pihak berkuasa, termasuk MPS dan agensi kerajaan berkaitan, daripada sebarang tanggungjawab.
Kemasukan ke premis dibuat sepenuhnya atas risiko sendiri.
“Operasi ini merupakan urusan peribadi pemilik kedai, namun kami tetap berada di lokasi bagi memastikan keselamatan awam tidak terjejas,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak polis, Bomba dan APM atas kerjasama yang diberikan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada kebenaran lanjut akan diberikan buat masa ini dan kawasan berkenaan akan terus ditutup serta dikawal.
“Mereka yang ingin mengemukakan rayuan diminta menghubungi Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), memandangkan perkara yang melibatkan barangan peribadi perlu dikendalikan secara tertutup,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata pakar geoteknikal akan dilantik bagi menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kegagalan struktur bangunan tersebut, satu proses yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.
Jelasnya, sebarang kerja perobohan akan dilaksanakan oleh pemilik bangunan dengan kos sendiri, manakala isu liabiliti hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai.
Sementara itu, Pengerusi MPS, Clarence Ting, berkata ketelusan menjadi keutamaan dalam pengendalian kes tersebut dan menyatakan rasa lega apabila operasi pengambilan barangan berjalan dengan selamat.-EDISI UKAS