ADUN Tanjong Datu Santuni Dua Keluarga Mangsa Kebakaran Di Kampung Sampadi
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan turun padang menyantuni dua keluarga yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung Sampadi di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian tersebut, dua buah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya menyebabkan lapan penghuni masing-masing empat orang bagi setiap rumah, hilang tempat berteduh dalam sekelip mata.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Prihatin terhadap nasib mangsa, beliau menyampaikan bantuan segera berupa barangan keperluan asas, bakul makanan yang mengandungi beras dan telur serta sumbangan wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terlibat.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan memberikan kata-kata semangat kepada mangsa, selain menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan mereka terus dipantau secara berterusan melalui kerjasama agensi berkaitan bagi tujuan bantuan susulan, termasuk penempatan sementara dan keperluan persekolahan anak-anak.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah wakil Pejabat Daerah Lundu, Anwar Fakhiryuddin Matmit serta Penghulu Sarkawi Nawi. -EDISI UKAS