Pelatih SCOPE Timba Pengalaman Tinjau Realiti Pentadbiran Luar Bandar di Pulau Bruit
PULAU BRUIT: Pelatih Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) berpeluang menimba pengalaman secara langsung mengenai realiti pentadbiran luar bandar menerusi lawatan lapangan ke beberapa projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, pada Rabu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pendedahan tersebut memberi pemahaman lebih mendalam kepada pelatih mengenai peranan wakil rakyat dalam merancang serta memantau pelaksanaan pembangunan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, lawatan berkenaan membolehkan pelatih menyaksikan sendiri pelaksanaan pentadbiran desa, pengurusan projek kecil dan sederhana serta kaedah penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat secara terus.
“Selaku wakil rakyat bersama Pusat Khidmat DUN Semop serta kepimpinan kampung mengalu-alukan kehadiran pelatih muda ini untuk menyaksikan sendiri serba sedikit wakil rakyat, pemimpin kampung dan wakil agensi kerajaan bekerja mengurus pelbagai perkara yang melibatkan kepentingan dan Kebajikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Pulau Bruit.
Datuk Abdullah menambah, sepanjang dua hari turun padang bersama beliau, para pelatih turut menyaksikan sendiri tanggungjawab seorang wakil rakyat yang perlu sentiasa mendekati masyarakat, meninjau isu setempat serta memantau kemajuan projek pembangunan.
Sepanjang tempoh latihan setahun, pelatih akan mengikuti pelbagai modul praktikal, termasuk memahami prosedur pentadbiran kerajaan di pedalaman dan mekanisme pelaksanaan projek pembangunan oleh agensi berkaitan.
Semasa penempatan latihan di UKAS, para pelatih mempelajari pengurusan media, persepsi awam serta kaedah penyampaian maklumat kerajaan secara berkesan, sekaligus membolehkan mereka menilai ketepatan maklumat di media sosial.
Mereka turut berpeluang mengikuti lawatan kerja lapangan selama dua hari bersama Datuk Abdullah.
Lawatan itu melibatkan tujuh tapak projek di tujuh kampung di Pulau Bruit disertai pegawai Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta lapan pelatih SCOPE.-EDISI UKAS