Program Ihya’ Ramadan Kampung Penasu Semarak Ukhuwah Komuniti
DARO: Program Ihya’ Ramadan 2026 Kampung Penasu telah berlangsung di Dewan Kampung Penasu pada Rabu bagi menyemarakkan semangat kebersamaan serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad telah menyempurnakan program berkenaan yang dimulakan dengan simbolik pengagihan bubur lambuk kepada penduduk kampung sebagai tanda kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.
Program kemudian diteruskan dengan bacaan doa dan tahlil bagi memohon keberkatan, kesejahteraan serta keselamatan buat seluruh penduduk Kampung Penasu dan kawasan sekitarnya.
Majlis disusuli dengan aktiviti berambeh berbuka puasa yang memberi peluang kepada penduduk untuk berkumpul, bertukar khabar serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dan perpaduan komuniti.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Guru Besar SK Kampung Penasu Dahlan Pamuda, Ketua Kaum Kampung Penasu Daud Anuari serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Ikhlas Awang Zainuddin Awang Naruddin.-EDISI UKAS