SARIKEI: Keharmonian masyarakat pelbagai kaum terus menjadi pemacu utama kestabilan dan pembangunan berterusan di kawasan Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, semangat kerjasama rakyat memudahkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan demi kesejahteraan bersama.
Menurut beliau, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan luar bandar terbukti melalui pelaksanaan projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
“Antara projek yang memberi impak besar termasuk pembinaan rangkaian jalan serta jambatan yang meningkatkan hubungan darat antara Sarikei dan Tanjung Manis, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Projek ini bukan sahaja memudahkan perhubungan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pembangunan untuk rakyat di Sarikei serta kawasan sekitarnya,” katanya dalam Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina di Restoran Grand Pavillion pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, Huang turut mengumumkan sumbangan RM15,000 kepada Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei sebagai tanda sokongan terhadap peranan persatuan itu dalam memperkukuh perpaduan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan rakyat dan kerjasama semua pihak akan terus menjadi asas penting bagi memastikan pembangunan Sarikei berlangsung secara mampan dan inklusif.-EDISI UKAS