Teknologi AI Sokong Pengurusan Trafik Lebih Sistematik Di Sibu
SIBU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi P-Turn Lebuhraya Pan Borneo di Selangau dijangka menyokong pengurusan trafik yang lebih sistematik di Bahagian Sibu.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris berkata pemasangan CCTV berteknologi AI tersebut merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh aspek keselamatan jalan raya serta pemantauan persekitaran awam selaras dengan aspirasi pembangunan negeri ke arah bandar pintar.
“Pemasangan CCTV berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Pan Borneo Sarawak ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan pemantauan infrastruktur awam.
“Ia juga selaras dengan aspirasi pembangunan negeri ke arah pembentukan bandar pintar yang berdaya tahan dan mampan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sistem berkenaan di Selangau pada Rabu.
Menurut beliau, pelaksanaan teknologi tersebut membolehkan pemantauan pergerakan trafik dilakukan secara lebih berkesan, sekali gus membantu usaha pencegahan kemalangan serta penambahbaikan pengurusan lalu lintas khususnya di sekitar kawasan Selangau dan Bahagian Sibu.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak agar memanfaatkan kemudahan teknologi tersebut secara optimum, selain mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus komited memperkasa infrastruktur keselamatan jalan raya melalui pendekatan inovatif dan penggunaan teknologi terkini sejajar dengan keperluan pembangunan semasa serta kepentingan pengguna jalan raya.-EDISI UKAS