AFFIN Rekod Prestasi Tertinggi 2025, Untung Sebelum Cukai Cecah RM755.7 Juta
KUALA LUMPUR: AFFIN Group mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM755.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 7.8 peratus berbanding RM701.0 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, prestasi tersebut turut disokong lonjakan 47.4 peratus keuntungan operasi serta nisbah Pinjaman Terjejas Kasar (GIL) yang bertambah baik ke paras terendah sepanjang masa iaitu 1.64 peratus.
“Prestasi kukuh ini, bersama kedudukan modal dan kecairan yang mantap, menyediakan asas yang kukuh untuk kami merebut peluang pada 2026 serta memperkukuh kualiti pendapatan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peningkatan itu didorong oleh kenaikan pendapatan bersih sebanyak RM271.8 juta, walaupun berdepan peningkatan perbelanjaan operasi dan peruntukan rosot nilai berbanding tahun kewangan terdahulu.
Bagi suku keempat 2025, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM215.6 juta, meningkat 18.4 peratus suku ke suku, dipacu pengembangan Margin Faedah Bersih serta peningkatan 30.5 peratus pendapatan berasaskan fi termasuk pertukaran asing dan komisen.
Jumlah aset Kumpulan berkembang kepada RM124.1 bilion, manakala pinjaman dan pembiayaan meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun kepada RM79.5 bilion, disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan segmen Perbankan Perusahaan, Perbankan Komuniti dan Perbankan Korporat.
Pendapatan bersih Kumpulan mencatat paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM2.44 bilion berbanding RM2.17 bilion pada 2024, meningkat 12.5 peratus hasil sumbangan lebih tinggi daripada Perbankan Islam, keuntungan instrumen kewangan dan pendapatan faedah bersih.
Anak syarikatnya, Affin Islamic Bank Berhad turut merekodkan peningkatan PBT sebanyak 39.1 peratus kepada RM449.7 juta berbanding RM323.3 juta pada tahun sebelumnya.
Dari segi kualiti aset, nisbah GIL bertambah baik kepada 1.64 peratus setakat 31 Disember 2025 berbanding 1.94 peratus pada tahun sebelumnya, manakala Liputan Kerugian Pinjaman (LLC) dan Rizab Kerugian Pinjaman (LLR) masing-masing berada pada paras 75.70 peratus dan 121.30 peratus.
Deposit pelanggan meningkat 7.6 peratus kepada RM80.2 bilion, sementara nisbah Kecukupan Modal Keseluruhan kekal kukuh pada 17.3 peratus dan Nisbah Liputan Kecairan berada pada 162.4 peratus, melebihi keperluan kawal selia.
Sebagai ganjaran kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 8.53 sen sesaham berjumlah RM216 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Menurut Wan Razly, cadangan dividen itu mencerminkan kedudukan modal yang teguh serta prestasi rekod tahun kewangan 2025, selaras dengan pelaksanaan pelan strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28) bagi memperkukuh pendapatan teras dan nilai mampan jangka panjang.-EDISI UKAS