Sambutan Tahun Baharu Cina Jadi Medium Dengar Suara Rakyat
SARIKEI: Sambutan Tahun Baharu Cina terus dimanfaatkan sebagai medium strategik untuk mendekati rakyat serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, tradisi lawatan rumah ke rumah yang dilaksanakan setiap kali musim perayaan bukan sahaja memperkukuh silaturahim, malah menjadi platform berkesan untuk memahami keperluan dan isu yang dihadapi rakyat.
Menurut beliau, suasana perayaan yang harmoni dan penuh muhibah membuka ruang kepada perbincangan yang lebih terbuka serta membolehkan pandangan rakyat disampaikan secara terus kepada wakil rakyat.
“Program seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat perayaan, malah menjadi ruang untuk saya beramah mesra dan mendengar rintihan rakyat, memahami cabaran mereka serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dengan masyarakat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut menegaskan bahawa perpaduan masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan sosial serta kesinambungan pembangunan di kawasan Parlimen Sarikei.
Dalam pada itu, beliau mengakui peranan pemimpin akar umbi seperti ketua kaum, tuai rumah dan wakil komuniti amat signifikan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berjalan lancar serta kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada penduduk mengenai isu dan keperluan semasa komuniti.
Antara yang menerima kunjungan ialah Penghulu Ley Kok Lun, Penghulu Yeu Chii Tung dan Wong Hua Ting.-EDISI UKAS