Sekolah Platform Terbaik Pupuk Perpaduan Generasi Muda
MERADONG: Sekolah merupakan tempat terbaik untuk menyemai benih perpaduan dalam kalangan generasi muda dari pelbagai latar belakang kaum, budaya dan kepercayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata sekolah mewujudkan suasana inklusif yang membentuk sikap saling menghormati sejak usia awal.
Jelasnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum tidak terbina secara spontan, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan melalui pengalaman serta interaksi positif di sekolah.
“Melalui persekitaran sedemikian murid dapat memahami bahawa perbezaan bukanlah penghalang sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan kehidupan bermasyarakat sekali gus membentuk asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni pada masa hadapan.
“Proses persefahaman antara berbilang kaum tidak berlaku secara spontan, tetapi perlu dipupuk secara berterusan melalui pengalaman dan interaksi yang positif sejak usia muda.
“Apabila sekolah berjaya mewujudkan suasana saling menghormati dan bekerjasama, maka asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni akan terbina dengan kukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sekolah Daerah Meradong 2026 di SJK (C) Min Daik, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah, para guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan berkenaan yang disifatkan mencerminkan semangat kebersamaan tinggi demi manfaat murid dan komuniti setempat.
Beliau turut berpesan kepada para murid agar mengambil peluang tersebut untuk belajar menghargai kepelbagaian, mengamalkan nilai hormat-menghormati serta membina persahabatan tanpa mengira perbezaan demi menjadi generasi yang bukan sahaja berilmu, malah berakhlak mulia dan berjiwa besar.
Harapannya agar sekolah tersebut terus menjadi contoh terbaik sebagai tempat lahirnya perpaduan serta melahirkan generasi yang mampu hidup bersama dalam suasana aman dan saling menghormati.-EDISI UKAS