Bazar Ramandan Subis 2026 Rancakkan Ekonomi Setempat, Erat Silaturahim Komuniti
BEKENU: Penganjuran Bazar Ramadan Majlis Daerah Subis 2026 di Tapak Parkir RTC Sibuti terus menjadi platform strategik dalam merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh hubungan komuniti sepanjang bulan Ramadan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa bazar Ramadan bukan sekadar lokasi masyarakat mendapatkan juadah berbuka puasa, sebaliknya merupakan inisiatif penting dalam memperkasa usahawan dan peniaga mikro tempatan.
“Bazar Ramadan ini membuka peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan sekali gus membantu mengukuhkan ekonomi keluarga. Ia juga mencerminkan sokongan berterusan kerajaan dalam memperkasa ekonomi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bazar tersebut pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan penganjuran bazar di lokasi strategik seperti RTC Sibuti memberi kemudahan kepada warga Subis mendapatkan pelbagai pilihan juadah pada harga kompetitif dalam suasana yang teratur dan selesa.
Sejurus selepas majlis perasmian, beliau mengetuai Program Jerayawara Agihan Bubur Lambuk anjuran Saberkas Cawangan Bekenu dengan kerjasama PERKIM Sibuti, PAWE Subis & USK, Masjid Al Muttaqin, PPWS Subis serta JKP Komuniti Subis.
Sebanyak 1,200 pek bubur lambuk merangkumi enam jenis pilihan telah disediakan secara gotong-royong untuk diagihkan kepada masyarakat setempat.
Inisiatif tersebut bukan sahaja menyemarakkan penghayatan Ramadan, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Sharkawi Suhaili, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Subis, Fauziliana Osman, Setiausaha Majlis Daerah Subis, Stella Jelica Joseph, Pengerusi Saberkas Cawangan Bekenu, Mahmud Sanai serta Pemanca Dr Ali Mudin.-EDISI UKAS