Tradisi Ziarah Eratkan Silaturahim Bersama Veteran SUPP Miri
MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew meneruskan tradisi kunjungan Tahun Baharu Cina dengan melawat tiga keluarga veteran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Taman Piasau, pada Jumaat.
Kunjungan pada hari ke-11 sambutan Tahun Baharu Cina 2026 itu merupakan amalan tahunan beliau setiap kali musim perayaan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan veteran parti, selain mengeratkan hubungan silaturahim.
Menurut beliau, komitmen dan pengorbanan golongan veteran dalam memperkukuh perjuangan parti serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat amat dihargai dan tidak harus dilupakan.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada veteran SUPP Miri serta rakan-rakan atas sokongan dan khidmat bakti yang berterusan selama ini.
Beliau turut mendoakan agar mereka sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan bersama keluarga serta kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi sempena Tahun Kuda.
Kunjungan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam menghargai jasa pemimpin terdahulu di samping memperkukuh semangat kebersamaan, hormat-menghormati dan perpaduan dalam komuniti setempat. -EDISI UKAS