PUSA: Aktiviti mengimarahkan Ramadan di kawasan Pusa diteruskan menerusi program Lawatan Ziarah Kasih Ramadan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor Kampung Hilir Beladin di sini.
Menurut Dato Razaili, program sempena Ihya Ramadan yang diadakan pada Sabtu itu bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan, malah berperanan sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, ukhwah kekeluarga bersama komuniti setempat.
"Program ini amatlah sesuai dilakukan pada bulan Ramadan dan menyantuni penduduk kampung adalah tanggungjawab saya sebagai ADUN di kawasan ini.
“Saya akan teruskan program ini sepanjang bulan Ramadan dan teruskan usaha ini bagi mengeratkan hubungan keluarga, sahabat agar ianya meringankan beban mereka,” katanya semasa program tersebut.
Katanya, program tersebut akan diteruskan ke kampung lain dalam kawasan DUN Beting Maro bagi memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian.
Program bermula jam 9.00 pagi itu melibatkan lawatan ke Kampung Hilir Beladin bertujuan untuk menyantuni penduduk setempat serta menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 21 buah keluarga yang memerlukan, khususnya dalam kalangan warga emas, pesakit kronik dan terlantar sempena bulan Ramadan.
Dalam pada itu, penduduk setempat merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato Razaili atas kesudian meluangkan masa di bulan Ramadan, turun padang bersama komuniti serta prihatin dengan nasib masyarakat di kawasannya. - EDISI UKAS