Kejohanan Pickleball ‘Taste Of Borneo’ Pacu Perkembangan Sukan di Miri
MIRI: Penganjuran Kejohanan Pickleball anjuran Jawatankuasa “Taste Of Borneo” dilihat sebagai langkah positif dalam memperkasa pembangunan sukan tersebut yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, kejohanan sulung itu mencerminkan perkembangan memberangsangkan sukan pickleball di negeri ini.
Menurut pihak penganjur, kejohanan yang dijadual berlangsung di Miri pada 28 hingga 29 Mac depan bakal menghimpunkan 128 pasukan dari dalam dan luar negara melibatkan lapan kategori yang dipertandingkan.
Jumlah penyertaan tersebut jelas menunjukkan peningkatan minat terhadap sukan pickleball, bukan sahaja dalam kalangan komuniti tempatan malah di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, sukan pickleball mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana ia mudah disertai oleh pelbagai peringkat umur selain mampu memupuk gaya hidup aktif dan sihat.
“Sukan ini bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah membentuk semangat berpasukan, disiplin serta jaringan persahabatan dalam kalangan peserta,” katanya ketika menerima kunjungan wakil Persatuan Cina Sarawak dan Jawatankuasa “Taste Of Borneo” di Pusat Khidmat ADUN Mulu, pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan sukan pickleball secara lebih meluas di Sarawak.
“Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas inisiatif menganjurkan kejohanan ini. Penganjuran seperti ini bukan sahaja memeriahkan landskap sukan negeri, malah membuka ruang interaksi dan jaringan baharu antara peserta dari pelbagai latar belakang,” ujarnya.
Majlis penutupan kejohanan itu dijangka menghimpunkan peserta, penganjur serta masyarakat setempat dalam suasana penuh semangat kesukanan, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan pickleball di Sarawak.-EDISI UKAS