Program Ramadan Prihatin Santuni Anggota Polis Marin dan Golongan Memerlukan
KUCHING: Program Ramadan Prihatin yang diadakan di Majlis Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak di Bintawa pada Sabtu menjadi platform menyantuni anggota keselamatan serta golongan memerlukan sempena bulan Ramadan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program tersebut memberi manfaat kepada 50 anggota Pasukan Polis Marin serta 77 penerima golongan asnaf di bawah Zon JAKASEH melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.
Menurut beliau, program itu merupakan kerjasama PETRONAS Sarawak, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) serta Pejabat Parlimen Santubong.
“Pada bulan Ramadan ini kita hadir bukan sahaja untuk membawa sumbangan tetapi sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada mereka yang berkhidmat dengan ikhlas demi negara,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong memaklumkan, dalam program itu, PETRONAS Sarawak menyumbangkan 150 bakul makanan bagi meringankan beban isi rumah menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata, aktiviti gotong-royong menyediakan 1,000 bekas bubur lambuk juga telah diadakan untuk diagihkan kepada hadirin serta orang awam sebagai juadah berbuka puasa.-EDISI UKAS