JKM Pantau Rapi Kes Kanak-Kanak Dicampak Ke Dalam Parit, Penjagaan Sementara Diputuskan Isnin Ini
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang memantau secara rapi kes seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa dicampak ke dalam parit oleh bapanya, dipercayai di bawah pengaruh dadah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah turun padang menyantuni mangsa yang kini sedang menerima rawatan di hospital.
Beliau berkata, kes berkenaan dijadualkan dibawa ke mahkamah pada Isnin ini bagi menentukan penempatan dan penjagaan sementara kanak-kanak tersebut.
“Kes ini akan dibicarakan di mahkamah pada Isnin dan kita akan mendapatkan keputusan lanjut daripada pihak mahkamah. Difahamkan, ibu dan bapa kanak-kanak itu masih dalam proses perceraian.
“Mahkamah akan membuat keputusan sementara berhubung penjagaan anak berkenaan, termasuk menentukan pihak yang paling layak dan sesuai untuk menjaganya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramadan Prihatin di Majlis Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak di Bintawa pada Sabtu.
Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, sekiranya tiada pihak yang sesuai dikenal pasti, mangsa bersama adik-beradiknya boleh ditempatkan di bawah jagaan JKM.
Bagaimanapun, beliau yakin masih terdapat ahli keluarga terdekat yang berkemampuan untuk membantu menjaga anak-anak terbabit.
Terdahulu, insiden berlaku pada pagi Rabu lalu di luar rumah mangsa.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian mata dan paha.
Ibu mangsa telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Suspek berumur 43 tahun telah ditahan pada hari berikutnya dan ujian air kencing mendapati beliau positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan siasatan polis masih berjalan.-EDISI UKAS