RM50,000 Diperuntuk Naik Taraf Surau As-Syakirin, Skim B Meradong
BINTANGOR: Kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf Surau Ass-Syakirin, Skim B Meradong melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk memastikan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing menegaskan bahawa projek tersebut akan membolehkan jemaah menunaikan ibadah dalam suasana yang selamat dan kondusif.
Katanya, projek ini melibatkan kerja-kerja pendawaian semula serta penambahbaikan infrastruktur surau bagi meningkatkan keselesaan para jemaah, terutamanya pada bulan Ramadan ini.
Upacara ringkas penyerahan tapak projek RTP yang siap oleh Jabatan Kerja Raya Sarikei diserahkan kepada Wakil Pengerusi Surau As-Syakirin dan disaksikan oleh Datuk Ding di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Datuk Ding turut mendengar sendiri keluhan dan isu yang dihadapi penduduk setempat bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan di kawasan tersebut melalui pendekatan turun padang.
Pelaksanaan projek menaik taraf surau itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur komuniti tanpa mengira bangsa dan agama.
Dalam masa yang sama, Datuk Ding turut mengadakan lawatan tapak bagi kelulusan Projek RTP 2026 yang melibatkan kerja-kerja Pendawaian Baharu Rumah Panjang TR Sadadu, Sungai Meradong dengan anggaran kos sebanyak RM58,500 yang juga di bawah seliaan JKR Bahagian Sarikei.
Lawatan ini bertujuan untuk menilai keperluan sebenar penduduk rumah panjang tersebut yang memerlukan sistem pendawaian elektrik baharu demi keselamatan dan keselesaan penghuni.
Projek ini amat signifikan kerana pendawaian yang sempurna dan selamat adalah asas kepada kesejahteraan sesebuah komuniti, khususnya di kawasan luar bandar. - EDISI UKAS