JKMS Salur RM299.79 Juta Bantu 57,073 Penerima Di Seluruh Sarawak
KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM299.79 juta kepada 57,073 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan, bagi Bahagian Kuching sahaja, sejumlah RM57.29 juta telah disalurkan kepada 10,883 penerima dalam tempoh sama, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Tambahnya, selain bantuan kebajikan bulanan, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan sosial merangkumi bantuan ibu bersalin, dana simpanan anak kelahiran Sarawak, subsidi pendidikan awal kanak-kanak, sokongan pesakit kronik serta kemudahan khas kepada warga emas melalui Kenyalang Gold Card.
“Ini merupakan satu perkara yang wajar disyukuri kerana kita berada di sebuah negeri yang kepimpinannya sentiasa memperkenalkan serta melaksanakan dasar yang manfaatnya kembali kepada rakyat,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Bahagian Kuching di sini pada Jumaat.
Katanya, pelbagai geran pemerkasaan ekonomi dan sosial turut disediakan bagi membantu kumpulan sasar meningkatkan taraf hidup serta menjana pendapatan secara mampan.
Mengenai program Majlis Sejambak Kasih, beliau berkata, seramai 2,786 penerima bantuan bulanan kebajikan di Bahagian Kuching telah menerima sumbangan tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Daripada jumlah tersebut, seramai 150 penerima telah dijemput hadir bagi menerima sumbangan secara langsung yang merangkumi wang tunai berjumlah RM100 berserta hamper barangan makanan bernilai RM80 setiap seorang.
“Untuk tahun 2026, seramai 2,786 orang yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri daripada 10,883 orang penerima jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan di Kuching,” ujarnya.
Jelasnya, sumbangan kepada baki seramai 2,636 penerima lain akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing bagi memudahkan persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurut beliau, penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan kewangan, malah menjadi platform meraikan penerima bantuan bulanan kebajikan yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan kebersamaan.
Majlis Sejambak Kasih mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir, khususnya ketika musim perayaan.
Lebih daripada sekadar sambutan Aidilfitri, program ini menjadi simbol solidariti sosial dan nilai kebersamaan masyarakat, selaras dengan semangat “Sejambak Kasih” yang membawa makna keikhlasan, empati dan semangat saling membantu dalam kalangan rakyat.- EDISI UKAS