Perayaan Erat Perpaduan, Platform Wakil Rakyat Dekati Akar Umbi
SARIKEI: Sambutan Tahun Baharu Cina terus menjadi medium memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii terus turun padang mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena perayaan tersebut bagi menyantuni penduduk sekitar kawasan Parlimen Sarikei.
Dalam suasana perayaan yang harmoni dan penuh muhibah, beliau mengunjungi kediaman beberapa pemimpin masyarakat termasuk Penghulu Huang Tiong Kang serta Kapitan Ling Sien Chuong bagi menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina secara peribadi di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
Menurut beliau, sambutan perayaan bukan sekadar acara tradisi, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta memberi ruang kepada wakil rakyat mendengar sendiri pandangan dan keperluan rakyat.
“Saya amat menghargai sokongan dan kerjasama berterusan daripada para pemimpin masyarakat serta penduduk setempat. Keharmonian dan semangat muafakat inilah yang menjadi asas kekuatan pembangunan di Sarikei,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut baru-baru ini.
Beliau yang diiringi oleh pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan beliau untuk sentiasa mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang.-EDISI UKAS