Ihya’ Ramadan N29 Beting Maro Diteruskan Di Kampung Kalok Pusa
PUSA: Program Ihya’ Ramadan bagi kawasan N29 Beting Maro diteruskan di Masjid Darul Ulum, Kampung Kalok, Pusa sebagai usaha memperkukuh penghayatan ibadah serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor yang berbuka puasa bersama komuniti setempat pada Khamis.
Menurut beliau, penganjuran program itu menjadi platform penting dalam mengekalkan ukhuwah persaudaraan serta menyatupadukan masyarakat.
“Bulan Ramadan adalah peluang terbaik untuk kita memperbanyakkan amalan kebajikan bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda.
“Rebutlah kesempatan ini untuk meningkatkan ibadah termasuk mengimarahkan masjid dengan tadarus dan khatam al-Quran,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Dato Razaili turut menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid/Imam serta para peserta Tadarus Al-Quran.
Hadir sama, Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Zon Pusa Bujang Beni, Penghulu Spinang, Semarang dan Batang Maro Musa Zin dan Penghulu Kampung Beladin, Pusa Zakaria Mos.-EDISI UKAS