Suntikan Subsidi Ringankan Beban Penjaja Bazar Ramadan Sri Aman
SRI AMAN: Penjaja Bazar Ramadan di kawasan ini menerima suntikan subsidi keseluruhan berjumlah RM42,500 menerusi Majlis Penyerahan Subsidi Penjaja Bazar Ramadan 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, memberitahu pemberian subsidi tersebut adalah manifestasi keprihatinan terhadap peniaga kecil yang bergantung kepada musim Ramadan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menyara keluarga serta membuat persediaan menjelang Syawal.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan khusus kepada penjaja di Bazar PBB Lingga, manakala selebihnya diagihkan kepada semua penjaja yang menyertai bazar Ramadan tahun ini.
Setiap penama penjaja menerima insentif sebanyak RM250.
Menurut beliau, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan kos operasi seperti pembelian bahan mentah, sewaan tapak dan kelengkapan perniagaan, sekali gus memperkukuh daya tahan penjaja dalam berdepan cabaran ekonomi semasa.
“Bazar Ramadan bukan sekadar lokasi jual beli juadah berbuka puasa, tetapi platform penting merancakkan ekonomi setempat.
"Ramai penjaja menjadikan Ramadan sebagai peluang utama meningkatkan pendapatan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, pada Jumaat.
Dalam masa sama, para penjaja turut diingatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan layanan mesra pelanggan bagi memastikan bazar berlangsung secara tersusun, selamat dan berkualiti.
Pemberian subsidi ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa ekonomi mikro, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan saling membantu yang menjadi teras penghayatan Ramadan. -EDISI UKAS