Dato Hanifah Zahirkan Takziah Kepada ADUN Balingian Susulan Pemergian Ayahanda Tercinta
BALINGIAN: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib meluangkan masa menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi yang kehilangan ayahanda tercinta beliau, Allahyarham Arbi Sa’at, pada Khamis.
Ziarah tersebut sebagai tanda sokongan moral dan solidariti beliau terhadap Abdul Yakub dan keluarga dalam menghadapi detik penuh dukacita itu.
Ia juga mencerminkan keprihatinan serta semangat kebersamaan kepimpinan dalam menyantuni rakan seperjuangan dan masyarakat setempat ketika berdepan saat-saat kehilangan.
Dalam suasana hiba, Dato Hanifah menzahirkan rasa simpati serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, di samping mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian berkenaan.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada Allahyarham sambil berdoa agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun di kediamannya di Kampung Masjid Balingian.
Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sayo, Balingian selesai solat Jumaat. - EDISI UKAS