BBP Tanjung Manis Terima Jentera CFRT, Tingkat Tahap Kesiapsiagaan
TANJUNG MANIS: Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis menerima sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) baharu bagi memperkukuh keupayaan operasi kebombaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi pelbagai situasi kecemasan di kawasan tersebut.
Majlis perasmian penerimaan jentera tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh di balai tersebut pada Jumaat.
Dengan kehadiran jentera yang lebih moden dan efisien itu, tahap kesiapsiagaan operasi kebombaan di kawasan jagaan Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis dijangka dapat dipertingkatkan, sekali gus mempercepatkan tindak balas terhadap sebarang kecemasan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurut pihak jabatan, penempatan jentera CFRT tersebut adalah amat strategik memandangkan reka bentuknya yang kompak dan sesuai digunakan di kawasan kampung serta rumah panjang yang mempunyai laluan lebih sempit dan mencabar.
Selain dilengkapi dengan sistem pemadaman kebakaran yang moden, jentera tersebut turut mempunyai kelengkapan operasi menyelamat serta peralatan pernafasan bagi menangani insiden melibatkan tumpahan bahan kimia berbahaya, sekali gus meningkatkan keupayaan respons terhadap pelbagai situasi kecemasan.
Inisiatif tersebut juga secara tidak langsung menambah baik imej perkhidmatan kebombaan sebagai pasukan yang sentiasa komited memberikan perlindungan yang selamat, profesional dan diyakini masyarakat setempat mahupun pengunjung luar.-EDISI UKAS