41 Pemilik Tanah Terima Pampasan Lebih RM1.66 Juta Bagi Projek Naik Taraf Jalan Mara–Selangking
BETONG: Seramai 41 pemilik tanah menerima pampasan berjumlah RM1,668,346.66 bagi projek menaik taraf Jalan Mara ke Jalan Selangking, Nanga Sela dan Tanjung Paoh dalam satu majlis yang diadakan di Rumah Mubok Julie, Tanjung Paoh, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan penyerahan sebanyak 68 cek pampasan kepada penerima yang terlibat.
Dalam ucapannya, beliau berkata pemberian pampasan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, setiap keperluan tanah bagi pembinaan jalan dan kemudahan awam akan diuruskan dengan sewajarnya, termasuk melalui pembayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat.
“Apabila kerajaan memerlukan tanah untuk membina jalan, pampasan akan dibayar kepada tuan punya tanah. Hari ini membuktikan perkara itu dengan jelas,” katanya.
Datuk Amar Douglas Uggah memaklumkan, projek yang dijangka siap pada Oktober 2026 tersebut kini telah mencapai kemajuan 42.3 peratus dan mendahului jadual.
Projek itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya dalam meningkatkan aksesibiliti, keselamatan jalan raya serta merangsang perkembangan ekonomi luar bandar.
Dalam perkembangan berkaitan pembangunan kawasan, tender bagi projek pembangunan di Bukit Sadok telah diputuskan.
Selain itu, sebuah projek pembinaan mini hotel bernilai RM14 juta turut akan dilaksanakan bagi menampung kehadiran pelawat serta merancakkan lagi sektor pelancongan di Bukit Saban.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.-EDISI UKAS