Manfaat Aplikasi Digital, AI Dengan Bijak Dalam Pembelajaran
BETONG: Pelajar digalakkan agar memanfaatkan aplikasi digital pendidikan dan kecerdasan buatan (AI) secara bijak sebagai alat untuk membantu dalam pembelajaran.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak bagaimanapun mengingatkan pelajar agar tidak terlalu bergantung sepenuhnya terhadap aplikasi berkenaan, sebaliknya menekankan agar mereka berusaha dan merasai sendiri pengalaman dalam menuntut ilmu.
Datuk Gerald berkata demikian semasa Program Benih Baik (2B) SEMESTA 2026 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Jabu, SMK St Augustine Betong, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu turut mengingatkan bahawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 kini mempunyai kurang daripada 250 hari untuk membuat persediaan rapi sebelum peperiksaan bermula.
“Setiap hari amat bermakna. Jika kita merancang dengan baik, menetapkan matlamat dan berdisiplin, kejayaan akan lebih mudah dicapai. Jangan tunggu sehingga saat akhir. Sediakan payung sebelum hujan,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menyeru ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam memastikan anak-anak sentiasa mendapat sokongan moral, pemantauan dan dorongan berterusan sepanjang tempoh kritikal ini.
“Guru, ibu bapa dan komuniti ibarat baja dan air kepada benih yang ditanam. Jika dijaga dengan baik, benih itu akan membesar menjadi pohon yang kukuh dan memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Sementara itu, Pengetua SMK St Augustine Betong, Ujai Sambau memaklumkan bahawa tahun ini merupakan edisi keenam penganjuran Program Benih Baik (2B) SEMESTA.
Beliau berkata, antara pengisian program termasuk ceramah keibubapaan, dialog prestasi, program pemuafakatan ibu bapa dan guru, sesi pelaporan serta penetapan sasaran akademik pelajar.
Kemuncak program menyaksikan Bacaan Ikrar Jaya Cerah 064, pelancaran Program CERAH064 serta pelancaran Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP).
Program tersebut disertai peserta terdiri daripada pelajar Tingkatan 5 dan ibu bapa sekolah berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr. Les Anak Met, Wakil Residen Bahagian Betong, Amir Redzuan Mohamad, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Benson Damu, Wakil Pegawai Daerah Betong, Christina Peter serta YDP PIBG SMK St Augustine Betong, Kaunselor Horace Entoi. - EDISI UKAS