Sambutan Gawai Penuh Makna Buat Penduduk Rh Sadadu Sungai Meradong
BINTANGOR: Penduduk Rumah Panjang Sadadu Sungai Meradong bakal meraikan sambutan Gawai kali ini dengan penuh keceriaan tahun selepas bakal menikmati kemudahan elektrik serta kemudahan asas yang lengkap.
Ia dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing selepas mengadakan lawatan tapak bagi meninjau pelaksanaan projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei itu pada Jumaat.
Antara skop projek ialah pendawaian elektrik, pemasangan meter serta penambahan infrastruktur lain bagi meningkatkan kemudahan asas penduduk rumah panjang tersebut.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak berjumlah RM58,500 melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Pada masa sama, Datuk Ding Kuong Hiing turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk rumah panjang tersebut bagi mendengar sendiri keperluan dan cadangan mereka.
Pelaksanaan projek-projek itu dijangka dapat memperkukuh kesejahteraan penduduk luar bandar, meningkatkan kemudahan infrastruktur serta menyokong agenda pembangunan luar bandar secara mampan. - EDISI UKAS