300 Pek Bubur Lambuk Diagih Kepada Komuniti Sekitar Pekan Simunjan
SIMUNJAN: Sebanyak 300 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada agensi kerajaan, penduduk kampung, pengunjung Bazar Ramadan serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan Padang Sentral Simunjan, pada Jumaat.
Program tersebut merupakan anjuran Pejabat Daerah Simunjan dengan kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Simunjan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia serta One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) Daerah Simunjan.
Inisiatif berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu amat signifikan dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Bubur lambuk ini melambangkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam bulan Ramadan. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk Pejabat Daerah Simunjan, KMKK, PEMADAM dan OSC MIDS Simunjan atas komitmen menjayakan program yang bermanfaat ini,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menyokong penganjuran program komuniti seumpama itu pada masa hadapan bagi memastikan kebajikan setiap lapisan rakyat sentiasa diberi perhatian dan keutamaan, di samping berharap agar program tersebut dapat diteruskan serta diperluas impaknya dalam mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat di daerah ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad memaklumkan bahawa program berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan bagi memupuk semangat kebersamaan serta membantu golongan yang memerlukan.
“Program ini merupakan antara usaha berterusan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh manfaat, khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan Rosita Poni, Pemanca Liew Wee Tchiun, Penghulu Ahmad Dol Simpol serta Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi. -EDISI UKAS