Siri Jelajah Ramadan Kuala Rajang 2026 Bermula di Kampung Bukit Kinyau
TANJUNG MANIS: Siri Jelajah Ramadan Kuala Rajang 2026 telah bermula di Kampung Bukit Kinyau sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat serta mengimarahkan bulan Ramadan di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, program tahunan itu menjadi platform untuk menyantuni masyarakat setempat di samping memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui pelbagai pengisian sepanjang Ramadan.
“Program ini bukan sahaja untuk menyampaikan sumbangan, tetapi juga untuk mengeratkan silaturahim, menyantuni masyarakat serta bersama-sama mengimarahkan kemuliaan bulan Ramadan,” katanya semasa program berkenaan pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berharap penganjuran program seumpama itu dapat terus menjadi wadah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat, sekali gus memupuk semangat kebersamaan serta perpaduan dalam komuniti setempat.
Dalam majlis sama, Datuk Len Talif turut menyerahkan sumbangan RM1,500 daripada Pusat Khidmat Kuala Rajang serta RM3,000 daripada Lembaga Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIR) kepada pihak masjid bagi menyokong aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan.
Pada sebelah petang, beliau meneruskan jelajah dengan program pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat Tanjung Manis yang diadakan di Masjid Al Firdaus yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai peringkat usia yang hadir bersama keluarga.
Mengakhiri hari pertama jelajah, Datuk Len Talif berbuka puasa bersama penduduk Kampung Belawai sebelum menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Darul Al-Arqam.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyerahkan sumbangan kurma serta peruntukan kepada Masjid Darul Al-Arqam sebanyak RM 3000 dari Pusat Khidmat Kuala Rajang dan RM 5000 dari Lembaga Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIR).-EDISI UKAS