Pemeliharaan Adat Bumiputera Perlu Terus Diperkasa
BELAGA: Pemeliharaan adat kaum Bumiputera di Sarawak perlu terus diperkasa bagi memastikan warisan budaya tersebut kekal terpelihara serta menjadi panduan kehidupan masyarakat generasi akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, masyarakat Bumiputera di negeri ini perlu berpegang teguh kepada adat yang diwarisi sejak zaman nenek moyang kerana ia merupakan identiti serta asas kepada sistem perundangan Mahkamah Bumiputera.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri membukukan adat pelbagai kaum di Sarawak membantu memastikan warisan tersebut tidak terhakis seiring dengan pembangunan pesat negeri ini.
“Contohnya, bagi komuniti dari Kaum Kayan dan Kenyah, Adat Kayan-Kenyah 1994 iaitu Kod Adat yang telah dibukukan oleh Kerajaan Sarawak iaitu melalui Majlis Adat Istiadat Sarawak.
“Saya juga turut dimaklumkan bahawa adat-adat bagi kaum yang lain seperti Iban, Bidayuh, Penan, Bisaya, Lun Bawang dan Kelabit sudah dibukukan buat masa ini,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa lawatan kerja ke Mahkamah Bumiputera Daerah Belaga serta sesi dialog bersama ketua masyarakat di daerah berkenaan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Jefferson yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram menambah, Mahkamah Bumiputera memainkan peranan penting dalam memastikan adat terus dihormati melalui penguatkuasaan hukuman terhadap kes pelanggaran adat dalam komuniti.
Beliau turut menegaskan peranan penting ketua masyarakat dan ketua kaum yang dilantik oleh kerajaan dalam membantu menyelesaikan pertikaian dan kes sivil berasaskan adat termasuk melibatkan Tanah Adat Bumiputera (NCR).-EDISI UKAS