Utamakan Keselamatan Jalan Raya Ketika Pulang Beraya
MUKAH: Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya terutama ketika pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya sepanjang musim perayaan.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, pemandu perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
"Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuklah pemeriksaan enjin, keadaan tayar serta sistem brek bagi memastikan semuanya berfungsi dengan sempurna," katanya selepas menyempurnakan Majlis Keselamatan Jalan Raya Daerah Mukah serta pengagihan bubur lambuk, di sini, pada Jumaat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Dato Hanifah menambah, keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan orang ramai diseru agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menjadikan keselamatan sebagai keutamaan dalam setiap perjalanan.-EDISI UKAS