Toh Puan Fauziah Meriahkan Acara Masak Bubur Pedas, MAKSAK Cares Santuni Komuniti Di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Juadah tradisi bubur pedas Sarawak menjadi pengikat ukhuwah apabila komuniti negeri ini di perantauan berhimpun dalam program MAKSAK Cares yang berlangsung meriah di Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur pada Sabtu.
Acara kemuncak menyaksikan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang juga Penaung MAKSAK Wanita Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyertai acara memasak bubur pedas bersama komuniti sebagai simbol kebersamaan dan semangat Ramadan.
Turut serta memeriahkan acara tersebut ialah anakanda Premier Sarawak, Dayang Noorjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Dato Baduyah Bujang serta ahli-ahli MAKSAK Wanita Sarawak yang lain.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Selain bergotong-royong menyediakan bubur pedas, program tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan ikhlas kepada golongan yang memerlukan sebagai manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosial MAKSAK Cares sepanjang bulan Ramadan.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan tradisi memasak bersama yang menjadi warisan masyarakat Sarawak, malah memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan komuniti di perantauan.-EDISI UKAS