MPKS–PPD Samarahan Perkukuh Kerjasama Memperluas Program Kitar Semula Sekolah
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan memperkukuh kerjasama strategik untuk memperluaskan program kitar semula di sekolah melibatkan sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran PPD Samarahan.
Menurut MPKS, pendekatan melalui penglibatan sekolah mampu melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sekali gus menjadikan pelajar sebagai ejen perubahan dalam komuniti masing-masing.
“Program tersebut dilihat sebagai platform berimpak tinggi untuk mendidik pelajar mengenai pengurusan sisa pepejal, amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) serta pembudayaan gaya hidup lestari sejak di bangku sekolah,” menurut kenyataan MPKS selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas PPD Samarahan, pada Jumaat.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam pelaksanaan beberapa program komuniti sepanjang 2026, termasuk inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak yang menekankan aspek keselamatan, inklusiviti dan kesejahteraan kanak-kanak dalam persekitaran bandar.
Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi pembangunan mampan yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak, khususnya institusi pendidikan, dalam mewujudkan ekosistem bandar yang lebih selamat dan kondusif untuk perkembangan kanak-kanak.
Hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan Shbini Saini, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph dan Setiausaha Perbandaran MPKS Gustian Durani. -EDISI UKAS