Sarawak Semakin Ke Hadapan Berkat Rakyat Terima Perubahan
SERIAN: Sarawak semakin ke hadapan dalam beberapa sektor utama termasuk ekonomi dan pendigitalan, berkat rakyat negeri ini menerima perubahan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak.
Mengambil contoh pendigitalan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata rakyat Sarawak kini semakin celik teknologi dengan penggunaan telefon pintar, pembayaran digital seperti Sarawak Pay (Spay) dan kod QR termasuk di kawasan kampung.
“Perkembangan ini mencerminkan kemajuan Sarawak ke arah wilayah yang lebih moden dan berdaya saing.
“Kalau kita tengok di China, kebanyakan urusan sudah tanpa tunai. Kita juga menuju ke arah itu. Walaupun masih ada cabaran seperti capaian internet, usaha sedang dijalankan untuk menambah baik kemudahan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026, di sini, pada Jumaat.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu lagi, pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik turut mendapat sambutan daripada generasi muda.
“Kita mahu anak-anak kita belajar tinggi, masuk universiti di Sarawak dan ceburi bidang aeroangkasa. Satelit sekarang bukan lagi besar dan mahal, ada yang kecil, lebih murah dan cepat dibangunkan. Ini masa depan kita,” katanya.
Usaha ini katanya membuktikan dasar-dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memberi tumpuan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, khususnya kepada rakyat Sarawak yang memiliki MyKad berstatus ‘K’.
Turut hadir, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek, Pegawai Daerah Serian Enting Nyami, Pengerusi Majlis Daerah Serian Dato Peter Minos, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS