Scout Fun Run SK Parun Suan Meriah, ADUN Tebedu Salur RM10,000 Sokong Pembangunan Pendidikan
SERIAN : Program Scout Fun Run 1.0 anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Parun Suan berjaya menghimpunkan kira-kira 250 peserta dalam suasana penuh meriah di Kampung Jenan, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Program yang bertujuan mengutip dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, yang turut menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasakan pembangunan pendidikan luar bandar.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas utama dalam menjamin masa depan generasi muda agar lebih berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Menurut beliau, akses kepada pendidikan dan kemahiran yang berkualiti mampu membuka peluang kehidupan yang lebih baik berbanding individu yang tidak mempunyai asas pendidikan yang kukuh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan serta tenaga pengajar SK Parun Suan atas kejayaan melahirkan pelajar cemerlang sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke Yayasan International School, sekali gus membuktikan potensi besar sekolah luar bandar dalam melahirkan modal insan berkualiti.
Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pihak sekolah dan PIBG, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti serta program pembangunan SK Parun Suan pada masa hadapan.
Program larian santai tersebut bukan sahaja mencapai objektif kutipan dana, malah berjaya memupuk amalan gaya hidup sihat serta mempereratkan semangat perpaduan dan kerjasama antara murid, guru serta masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Parun Suan, Nebin anak Nasa; Yang Dipertua PIBG, Jerry Mabui; Pemanca Jacques Kantuh; Penghulu Ginui Pupur serta Ketua Kaum Limai Ranyid dan Dikos Suntek.
Program berimpak komuniti seperti ini dilihat selari dengan usaha memperkukuh pembangunan pendidikan melalui penglibatan aktif masyarakat secara menyeluruh.- EDISI UKAS