Rodiyah Santuni Peniaga, Agih 700 Pek Bubur Lambuk di Bazar Ramadan Simunjan
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee turun padang menyantuni peniaga dan pengunjung menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan di Bazar Ramadan Simunjan, pada Jumaat.
Dalam program tersebut, wakil rakyat Parlimen Batang Sadong itu mengagihkan 80 unit apron kepada peniaga sebagai sokongan langsung kepada komuniti usahawan kecil, selain menyampaikan 700 pek bubur lambuk serta buah kurma kepada pengunjung untuk juadah berbuka puasa.
Pemberian apron dilihat sebagai inisiatif praktikal membantu peniaga mengekalkan kebersihan dan imej profesional gerai, sekali gus mewujudkan persekitaran bazar yang lebih tersusun dan selesa kepada orang ramai.
Selain agihan, Rodiyah turut meluangkan masa beramah mesra serta meninjau tahap sambutan dan perkembangan jualan peniaga, yang disifatkan memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung yang ramai.
Suasana bazar yang meriah bukan sahaja mencerminkan kehangatan Ramadan, malah memperlihatkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui pendekatan turun padang yang inklusif. -EDISI UKAS